Auto Added by WPeMatico

ANKARA – Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud menggegarkan Sindirgi, barat Turkiye semalam, kata agensi pengurusan bencana negara itu, AFAD, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera.
Gempa itu dirasai di beberapa bandar termasuk Istanbul dan kawasan tumpuan pelancong, Izmir.
“Seorang mangsa berusia 81 tahun meninggal dunia sejurus selepas diselamatkan dari bawah runtuhan,” kata Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya kepada wartawan di pusat gempa di Sindirgi.
Tambahnya, seramai 29 orang lagi cedera, tetapi tidak serius.
Gempa bumi itu meruntuhkan 16 bangunan di Sindirgi dan kawasan sekitar di mana empat daripadanya tidak berpenghuni, termasuk bangunan tiga tingkat di pusat bandar.
Sebilangan orang ditarik hidup-hidup dari runtuhan bangunan tiga tingkat yang didiami enam orang. Mangsa yang maut tertimbus di bawah runtuhan di situ sebelum dikeluarkan.
Terdahulu, Datuk Bandar Serkan Sak memberitahu saluran televisyen NTV bahawa empat orang diselamatkan daripada runtuhan.
“Usaha untuk mengeluarkan dua yang lain sedang dijalankan,” tambahnya.
Kira-kira 319 anggota kecemasan telah dikerahkan ke zon terjejas, kata AFAD.
Gempa itu berlaku pada pukul 7.53 malam (waktu tempatan), dengan kira-kira 20 gegaran susulan antara 3.5 hingga 4.6 magnitud, demikian menurut AFAD. – AFP
The post Gempa bumi gegarkan barat Turkiye, seorang maut appeared first on Kosmo Digital.