Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Polis telah mengambil keterangan tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung kes buli murid tahun empat sehingga mengalami gegaran otak, 7 Ogos lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman Arsad berkata, keterangan percakapan itu melibatkan pegawai perubatan yang merawat mangsa, murid sekolah yang menjadi saksi kejadian serta ahli keluarga, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10.
“Setakat ini tujuh saksi telah diambil keterangan, jika ada keperluan kita akan memanggil beberapa saksi lain bagi melengkapkan siasatan bergantung kepada keputusan laporan perubatan.
“Mangsa masih lagi menjalani rawatan dan pemantauan pihak hospital, pihak hospital pun belum boleh keluarkan laporan lagi sebab mangsa belum selesai jalani rawatan.
“Jadi polis sedang menunggu laporan perubatan penuh sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung dakwaan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mengalami gegaran otak selepas didakwa dibuli dan dipukul oleh rakan sekolahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Izzul Islam di Hospital KPJ Puteri di sini hari ini.
Terdahulu, ibu mangsa, Siti Suhaina Misdi, 39, mendakwa anaknya, Izzul Islam dipukul dipercayai dipukul oleh seorang murid berusia 10 dan 12 tahun di hadapan kelas di sebuah sekolah agama dan kebangsaan di Skudai ada 21 Februari serta 7 Ogos.
Susulan kejadian, Siti Suhaina membuat dua laporan polis pada 23 Februari di Balai Polis Skudai serta 15 Ogos lalu di Balai Polis Larkin.
Dalam pada itu, Ab Rahaman berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE
The post 7 saksi dipanggil bantu siasatan kes buli Izzul Islam appeared first on Kosmo Digital.