Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bukanlah projek gajah putih seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya dilaksanakan dengan langkah berjaga-jaga bagi memastikan ia memberi pulangan kepada negara.
Beliau berkata, Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018 telah merunding semula perjanjian dengan kontraktor dari China supaya mereka bukan sahaja terlibat dalam pembinaan, tetapi juga pengoperasian projek tersebut.
“Melalui rundingan itu, sebarang kerugian akan ditanggung bersama pada kadar 50-50. Jika projek mencatat keuntungan pula, Malaysia akan menerima 80 peratus, manakala pihak China 20 peratus. Ini bagi memastikan mereka tidak ‘mencuci tangan’ selepas pembinaan selesai,” katanya melalui kenyataan di media sosial.
Menurutnya, kerajaan turut giat menggalakkan pembinaan kawasan industri dan hab logistik di sepanjang laluan ECRL bagi memastikan wujud permintaan mencukupi untuk perkhidmatan kargo rel.
Langkah itu, jelasnya, penting bagi mengurangkan risiko kerugian dan memastikan manfaat ekonomi kepada penduduk setempat.
“Untuk berpuluh tahun, negara telah membelanjakan berbilion ringgit bagi membina dan menaik taraf sistem rel termasuk rangkaian ECRL dan KTMB. Namun, cabaran utama ialah kegagalan mengoptimumkan penggunaannya,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Madani kini berusaha menambah bilangan tren bagi mengatasi masalah tiket yang sering habis dijual serta menggalakkan lebih banyak barangan diangkut menggunakan rel.
“Ini bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan dan kerosakan jalan akibat lori, tetapi juga menjadikan sistem pengangkutan negara lebih efisien. Pelaburan besar kerajaan hanya akan berbaloi apabila dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dan industri,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post ECRL bukan projek gajah putih – Anthony Loke appeared first on Kosmo Digital.