Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Bintang sensasi Selangor FC, Faisal Halim mahu fokus dengan aksi di peringkat kelab sebelum memikirkan peluang mewakili Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Palestin dan Singapura pada September depan.
Menurutnya, persaingan dalam skuad kebangsaan ketika ini sangat sengit, jadi adalah lebih baik memberikan tumpuan meningkatkan prestasi bersama Gergasi Merah terutama apabila kempen Liga Super akan bermula kurang dua minggu lagi.
“Sudah tentu saya sebagai pemain ingin berada dalam skuad kebangsaan. Tapi apa yang saya boleh katakan, sekarang (persaingan) dalam skuad nasional memang sengit.
“Walau apa yang terjadi, sekiranya panggilan ada ataupun tidak lagi selepas ini, saya tetap dengan pendirian. Saya akan fokus dan berjuang untuk kelab saya,” katanya.
Sebagai rekod, Faisal yang mesra dengan panggilan Mickey berada dalam panggilan kebangsaan ketika bertemu Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang menyaksikan skuad negara menang 4-0 bulan lalu.
Namun, pemain sayap lincah berusia 27 tahun itu tidak diturunkan dengan pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski membariskan jentera serangan terdiri daripada pemain-pemain warisan baharu seperti Rodrigo Holgado, Joao Figueredo dan Imanol Machuca.
Kali terakhir Faisal beraksi dengan skuad negara ketika perlawanan persahabatan menentang Cape Verde di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei lepas.
Skuad negara dijangka menjalani kem latihan pusat penghujung bulan depan bagi mengharungi dua perlawanan bertemu Palestin dan Singapura di Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE
The post Faisal fokus berjuang demi Selangor FC appeared first on Kosmo Digital.