Auto Added by WPeMatico

LONDON – Para peminat Chelsea sudah tidak sabar untuk menantikan permulaan saingan musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu depan berdasarkan prestasi semasa pemain dan kelab itu.
Lebih membanggakan, pemain sayap lincah Brazil, Estevao hanya mengambil masa 18 minit untuk mencipta impak hebat apabila meledak gol pertamanya dalam debut bersama Chelsea menewaskan Bayer Leverkusen 2-0 awal pagi semalam.
Estevao, 18, dibeli dengan harga keseluruhan mencecah €67 juta (RM330.75 juta) daripada Palmeiras pada Julai 2024, namun kekal beraksi secara pinjaman dengan kelab itu musim lalu.
Satu lagi gol Chelsea dalam aksi pramusim di Stamford Bridge itu diperoleh menerusi seorang lagi pemain yang baru dibeli bulan lalu, Joao Pedro.
Ia adalah permulaan terbaik Chelsea dalam kempen pramusim, empat minggu selepas menewaskan juara Eropah, Paris Saint-Germain untuk menjuarai Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 di Amerika Syarikat baru-baru ini.
Selain Estevao dan Pedro, pengendali Chelsea, Enzo Maresca turut menurunkan tiga lagi pembeliannya ketika ini iaitu penyerang, Liam Delap, Jamie Gittens (sayap) dan Jorrel Hato (pertahanan).
Aksi persahabatan menentang AC Milan di Stamford Bridge malam ini menjadi perlawanan pramusim terakhir Chelsea sebelum memulakan kempen EPL menentang Crystal Palace minggu depan.
Berdasarkan prestasi semasa pemain dan kejayaan kelab, para peminat Chelsea kini memasang impian untuk melihat kelab mereka kembali menjuarai EPL musim ini sejak kali terakhir menjuarainya pada 2016/17. – AGENSI
The post EPL: Estevao mula beri amaran awal appeared first on Kosmo Digital.