Auto Added by WPeMatico

PERANAN tentera di sesebuah negara sangat penting bagi melindungi negara daripada sebarang ancaman musuh yang cuba mengancam ketenteraman awam dan mencetuskan peperangan.
Oleh itu, pasukan ketenteraan sentiasa bersiap siaga di barisan hadapan bagi menepis ancaman musuh daripada memporak-perandakan negara di samping bantuan daripada pasukan-pasukan keselamatan yang lain untuk menjaga keharmonian negara secara menyeluruh.
Walaupun begitu, terdapat beberapa negara di dunia yang menghapuskan kuasa tentera dan menjadikannya negara yang tidak mempunyai tentera. Sehubungan itu, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima negara di dunia yang tidak mempunyai tentera seperti dilaporkan oleh Times Of India.
1- Iceland
ICELAND menghentikan tentera tetapnya pada tahun 1869 biarpun negara itu ahli aktif Jawatankuasa Ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Sebaliknya, Unit Tindak Balas Krisis berfungsi sebagai ekspedisi militari yang menjaga keamanan. Ia juga mempunyai perjanjian pertahanan sedia ada dengan Amerika Syarikat yang membawa kepada penubuhan Angkatan
Pertahanan Iceland dan pangkalan tentera di tanah Iceland dari tahun 1951 hingga 2006.
Walaupun pangkalan tentera ditutup, AS berjanji untuk memastikan pertahanan Iceland tanpa meletakkan pasukan tetap. Iceland juga mempunyai perjanjian berkait operasi ketenteraan dengan sekutu NATO seperti Norway, Denmark dan negara anggota lain.
2- Costa Rica
MENGAMBIL langkah berani pada tahun 1949, Costa Rica memutuskan untuk menamatkan pasukan tenteranya dan memilih untuk melabur kepada rakyatnya.
Ini meletakkan Costa Rica sebagai pelopor global, menjadi negara pertama yang memilih jalan sedemikian dan memilih model alternatif untuk kewujudan bersama serta pembangunan.
Negara ini secara konsisten menunjukkan prestasi yang baik dalam Indeks Pembangunan Manusia (HDI), meletakkannya di tangga ke-58 di dunia pada tahun 2022 dan kelima di Amerika Latin.
3- Mauritius
WALAUPUN tidak mempunyai tentera tetap, Mauritius mempunyai pasukan polis aktif sekitar 10,000 kakitangan yang bertanggungjawab untuk fungsi polis dan keselamatan.
Di bawah perintah Pesuruhjaya Polis, pasukan ini memastikan undang-undang dan ketenteraman dalam negara.
Negara ini mempunyai keluasan 2,040 kilometer persegi dan memiliki zon ekonomi eksklusif meliputi kira-kira 2 juta kilometer persegi.
Mauritius terkenal dengan biodiversiti flora dan fauna dengan banyak spesies unik yang endemik di negara tersebut.
4- Vatican City
VATICAN City juga tidak mempunyai ketenteraan tetapi ia mempunyai unit khas perlindungan yang diletakkan di bawah perlindungan Paus (Pope) dikenali sebagai Pontifical Swiss Guard.
Selain itu, negara ini juga secara tidak rasmi turut dilindungi oleh angkatan tentera Itali walaupun tiada perjanjian ketenteraan antara kedua-dua negara ini.
Pengawal Palatine dan Pengawal Bangsawan telah dibubarkan pada tahun 1970 dengan tugas kepolisian dalaman diamanahkan kepada Kor Gendarmerie.
5- Liechtenstein
MENGHAPUSKAN tentera tetapnya pada tahun 1868 atas sebab kewangan, Liechtenstein membenarkan peranan tentera hanya semasa perang.
Negara ini mengekalkan pasukan polis yang dilengkapi dengan senjata kecil untuk keselamatan dalam negeri dengan bantuan pertahanan yang disediakan oleh Austria dan Switzerland.
Terletak di Eropah Barat, ia bersempadan dengan Switzerland dan Austria. Kebanyakan kawasan permukaan bumi di Liechtenstein bergunung-ganang menjadikannya destinasi sukan musim sejuk.
The post 5 negara tanpa tentera di dunia appeared first on Kosmo Digital.