Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – “Saya cuma nak satu gambar keluarga yang lengkap untuk ditunjukkan kepada anak bila dia besar nanti.”
Itu luahan seorang bapa, Alif yang berkongsi kisah hidupnya di media sosial, merayu jasa baik pengguna lain untuk membantu menyunting beberapa keping gambar menjadi satu foto keluarga bersama arwah isterinya.
Alif berkata, permintaan tersebut sekadar satu kenangan abadi buat anaknya yang kini membesar tanpa ibu sejak usia setahun.
Menurut lelaki tersebut, isterinya meninggal dunia akibat kanser selepas membuat keputusan untuk tidak menggugurkan kandungan meskipun dinasihatkan doktor.
“Minta jasa baik pakar IT dan pakar ekonomi untuk edit (sunting) gambar bagi jadi satu. Isteri dah meninggal waktu anak umur setahun. nak buat kenangan untuk tunjuk dekat anak. Jasa baik anda amat dihargai,” katanya dalam satu hantaran di kumpulan Facebook, Edit Apa Hari ini.
Alif menambah, Allahyarham isterinya menghembuskan nafas terakhir ketika di rumah bersama anak mereka yang baru berusia setahun, sementara dia berada di tempat kerja.
Katanya, ketika dia pulang, jiran memaklumkan bahawa anak kecil itu tidak menangis langsung meskipun berada bersama jenazah ibunya selama kira-kira enam jam.
“Enam jam anak umur setahun duduk dengan arwah yang dah meninggal. Anak tak menangis
langsung jiran-jiran cakap. Sayang buka pintu anak tengah menyusu badan arwah yang dah meninggal,” kongsinya.
Perkongsian tersebut mengundang sebak orang ramai yang rata-rata memuji ketabahan lelaki itu dalam membesarkan anak seorang diri.
Di ruangan komen, ramai turut menawarkan bantuan menyunting gambar keluarga tersebut bagi merealisasikan hasrat kecilnya untuk memiliki sekeping foto lengkap bersama isteri tersayang. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya cuma nak satu gambar keluarga lengkap ditunjukkan kepada anak’ appeared first on Kosmo Digital.