Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Lebih 600 kontena disyaki membawa masuk buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram di Pelabuhan Klang berjaya dikesan pihak berkuasa dalam Op Hazard 2.0 pada 16 dan 17 Jun lalu.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rosli Zul berkata, operasi dijalankan sebagai langkah membanteras pengurusan haram e-waste yang semakin berleluasa dan membahayakan keselamatan awam serta alam sekitar.
“Mereka menggunakan modus operandi yang licik dan mengelirukan, manakala kebanyakan kilang haram di sini tidak memasang alat kawalan pencemaran,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rosli berkata daripada 57 premis, hanya tujuh premis dikenal pasti memiliki permit sah daripada JAS untuk mengurus bahan buangan terjadual.
Tambah beliau, kebanyakan premis haram dikenal pasti terletak di kawasan terpencil serta di luar zon industri yang diluluskan dan menyukarkan tindakan penguatkuasaan dan meningkatkan risiko pencemaran alam sekitar.
“Sebanyak 25 kertas siasatan dibuka terhadap premis-premis terlibat atas pelanggaran serius seperti gagal mematuhi syarat lesen (Seksyen 16), menjadi kemudahan penstoran buangan tanpa lesen (Seksyen 18), gagal mendapatkan kebenaran Ketua Pengarah (Seksyen 19), gagal serah laporan EIA (Seksyen 34A) dan buang sisa tanpa kelulusan (Seksyen 34B),” jelasnya.
Operasi bersepadu ini membabitkan 181 pegawai JAS di 10 negeri, turut disertai Pasukan Simpanan Persekutuan, Wildlife Crime Bureau dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Polis Diraja Malaysia. – KOSMO! ONLINE
The post 600 kontena e-waste ‘seludup’ masuk Malaysia appeared first on Kosmo Digital.