Auto Added by WPeMatico

KUALA TERENGGANU – Seorang pengurus sebuah resort terkenal di Pulau Redang, Kuala Nerus dekat sini kerugian RM68,761 apabila diperdaya sindiket penipuan berkaitan akaun e-dompet miliknya.
Wanita berusia 48 tahun yang menetap di Tok Adis di sini itu membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 5.32 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pengurus resort terbabit telah dihubungi individu mendakwa kononnya wakil aplikasi e-dompet, Touch & Go pada 22 Mei lalu.
“Suspek mendakwa kononnya kad bank yang dikuasakan oleh Visa milik mangsa telah tamat tempoh dan perlu dikemaskini.
“Mangsa kemudiannya diberi pautan sebelum diminta mengisi maklumat perbankan peribadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, akaun bank wanita itu kemudiannya didakwa telah disekat sebelum wang simpanannya berjumlah keseluruhan RM53,872 tiba-tiba dipindahkan ke akaun lain menerusi 44 transaksi.
Beliau berkata, mangsa yang cemas telah diarahkan menggunakan akaun bank alternatif lain sekiranya mahu mendapatkan semula wang simpanannya itu.
“Tanpa berfikir panjang, mangsa telah memberikan dua akaun bank lain termasuk salah satunya milik bersama adik dan ibunya sebelum wang simpanan berjumlah keseluruhan RM14,889 di dalam dua akaun bank tersebut pula dipindahkan ke pihak ketiga menerusi tiga transaksi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kemas kini akaun e-dompet, terus lebur simpanan RM68,761 appeared first on Kosmo Digital.