Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung insiden tembakan membabitkan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka telah dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, hasil penelitian AGC bersetuju dengan syor yang dikemukakan dan mengarahkan supaya siasatan kes berkenaan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh.
“PDRM menegaskan komitmen untuk memastikan setiap proses siasatan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berlandaskan undang-undang demi menjamin keadilan kepada semua pihak serta tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan AGC mengklasifikasikan semula kes tersebut dibuat selepas meneliti taklimat serta cadangan yang dikemukakan oleh PDRM.
Satu pasukan khas telah ditubuhkan di peringkat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi mengambil alih sepenuhnya siasatan berhubung kejadian tiga suspek yang ditembak mati selepas mencederakan seorang anggota polis di Durian Tunggal, bulan lalu.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar dilaporkan berkata, tindakan itu turut merangkumi siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga ketiga-tiga suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis dalam insiden berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal kejadian pada 24 November lalu dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan oleh JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka sebelum kes tersebut diambil alih sepenuhnya oleh Bukit Aman.
Dalam kejadian itu, tiga penyamun ditembak mati oleh sepasukan polis selepas menetak seorang anggota polis berpangkat koperal yang cuba menahan kumpulan dikehendaki berkenaan berhampiran sebuah ladang sawit di Durian Tunggal.
Kumpulan yang dikenali sebagai ‘Geng DT’ itu terdiri daripada dua lelaki berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 29 tahun serta dipercayai terlibat dalam kira-kira 20 kes pecah rumah dan bangunan sejak 2024 dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM1.3 juta. – KOSMO! ONLINE
The post Kes tembakan tiga lelaki disiasat di bawah Seksyen 302 appeared first on Kosmo Digital.