Auto Added by WPeMatico

IPOH – Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak telah membuat laporan polis terhadap sebuah akaun TikTok The King pada 31 Julai lalu yang memuat naik hantaran palsu berhubung istiadat perkahwinan diraja Perak.
Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Meor Hezbullah Meor Abd. Malik berkata, video berdurasi 58 saat dimuat naik akaun TikTok itu disertakan dengan pernyataan:
“Majlis Persandingan DiRaja akan berlangsung di Istana Iskandariah Bukit Chandan Kuala Kangsar Negeri Perak Darul Ridzuan, pada 07.08.2025 sehingga 17.08.25, live di Astro pada 07.08.2025 pada pukul 11.30am sepanjang 3 jam”.
“Majlis Akad Nikah dan Berbedak untuk di persembahkan pada umum tepat jam 11.30am untuk rakyat negeri Perak Raja Di Hilir Perak yang ke 26.
“Urusan ke Sabah pada 17.08.25 selama 1 minggu untuk pasangan DiRaja ke Tamparuli, Kampung Tinambak Sabah,” katanya.
Beliau berkata, Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak menegaskan bahawa kandungan laporan akaun TikTok berkaitan sama sekali tidak benar dan dibimbangi boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.
“Pejabat Duli Yang Maha Mulia tidak mengenali dan tidak ada sebarang hubungan dengan pemilik akaun TikTok tersebut, serta tidak melantik mana-mana pihak atau pemilik akaun media sosial sebagai jurucakap Istana Perak bagi sebarang majlis di Istana Perak termasuk majlis perkahwinan diraja,” katanya.
Justeru, katanya, laporan polis dibuat demi melindungi nama baik Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Kerabat Diraja dan Istana Perak daripada dicemari, Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
“Melalui kenyataan media ini, ditegaskan bahawa tiada sebarang liputan siaran secara langsung majlis akad nikah untuk tontonan umum dan tiada majlis persandingan diraja dilangsungkan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak pada pukul 11.30 pagi, 7 Ogos 2025.
“Serta tiada sebarang aktiviti melibatkan Pasangan DiRaja ke Tamparuli, Sabah pada 17 Ogos 2025.
“Perbuatan tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu hendaklah dihentikan untuk mengelakkan berlaku kekeliruan dan salah faham anggota masyarakat di samping melindungi nama baik Istana Perak,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada majlis pernikahan diraja di Istana Iskandariah, 7 Ogos depan appeared first on Kosmo Digital.