Auto Added by WPeMatico

GEORGE TOWN – Seorang lelaki maut manakala isteri dan dua anaknya mengalami kecederaan apabila kereta yang mereka naiki terlibat kemalangan di Kilometer 127.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Kepala Batas di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.51 pagi tadi, mangsa, Wan Syamilludin Wan Radzi, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Isteri mangsa, Nazirah Zainuddin, 31, mengalami kecederaan pada tulang belakang manakala dua anak mereka berusia enam dan lapan tahun dilaporkan cedera ringan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima kejadian berlaku dan operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas.
Menurutnya, kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kereta jenis Proton Wira dan Proton Saga.
“Seramai empat mangsa terdiri anak beranak menaiki Kereta Proton Wira manakala kereta Proton Saga dinaiki seorang lelaki berusia 35 tahun mengalami cedera ringan.
“Kesemua mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian dan pemandu Proton Wira disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mangsa terlibat dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 8.39 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki maut, tiga beranak cedera kemalangan appeared first on Kosmo Digital.