Auto Added by WPeMatico

![]()
SEREMBAN – Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan wang RM2,000 bagi melindungi pemandu lori yang tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM).
Tertuduh, Faizul Azizin Abdul Wahid, 34, yang bertugas di Unit Operasi Bahagian Penguat Kuasa JPJ Negeri Sembilan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N.Kanageswari.
Pembantu Penguat Kuasa JPJ KP19 itu didakwa memperoleh wang melalui pindahan secara dalam talian daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas individu tersebut yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu lori muatan bahan binaan yang telah tamat tempoh LKM dan insurans.
Kesalahan dilakukan pada pukul 1.50 tengah hari hingga 5.50 petang berhampiran Stesen KTM Senawang di sini pada 18 November 2024. Oleh itu terrtuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Zainab Yahaya menawarkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan, namun peguam Che Muji Che Noh bagi pihak peguam Asmawi Ismail merayu jaminan paling minimum atas alasan tertuduh menanggung tiga anak yang masih kecil.
“Mohon mahkamah memberikan kadar jaminan munasabah mengikit nilai pertuduhan suapan hanya RM2,000. Tertuduh bekerja di JPJ sejak 2008 dan sepanjang siasatan, dia memberikan kerjasama yang baik,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Disember ini.- KOSMO! ONLINE
The post Anggota JPJ didakwa terima rasuah RM2,000 lindung drebar lori appeared first on Kosmo Digital.