Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan perbuatan menyebarkan, mendedahkan atau memaparkan maklumat peribadi seseorang tanpa kebenaran adalah menyalahi undang-undang serta tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung penyebaran maklumat peribadi seorang individu di platform dalam talian.
Beliau menegaskan perbuatan menyebarkan maklumat peribadi seseorang termasuk alamat kediaman, nombor telefon, nombor pengenalan diri dan maklumat keluarga, adalah satu perbuatan yang salah.
“Perbuatan itu dikenali sebagai ‘doxing’ dan boleh disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang sedia ada.
“Antaranya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, serta Seksyen 507E dan 507F Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Khalid turut menegaskan prinsip perlindungan data peribadi terpakai kepada semua individu tanpa mengira latar belakang, pandangan atau situasi semasa, selain tidak boleh dijadikan alasan untuk tindakan balas dendam, ugutan atau gangguan dalam talian.
“Sehubungan itu, PDRM mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk penyebaran maklumat peribadi serta mengamalkan etika dan tanggungjawab dalam penggunaan platform digital,.
“PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan keselamatan awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Sebar maklumat peribadi, ‘doxing’ boleh kena tindakan undang-undang appeared first on Kosmo Digital.