Auto Added by WPeMatico
Kerajaan setuju gubal Akta 652, kualiti TVET diangkat setaraf PHD

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju mengubal Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) bagi memperkasakan dan meningkatkan kualiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, menerusi penggubalan akta itu, pihaknya berhasrat meningkatkan tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) supaya setaraf ijazah atau doktor falsafah (PhD).
Beliau berkata, pengenalan tahap baharu dan lebih tinggi dalam SKM penting kerana ketika ini SKM hanya mempunyai tahap satu hingga lima dengan kelayakan tertinggi setara diploma lanjutan.
“Saya akan bentangkan pindaan kepada akta ini di Parlimen dan saya minta semua Ahli Parlimen menyokong.
“Saya mahu bentangkan supaya daripada tahap satu hingga lima, kita tambah lagi kepada tahap enam, tujuh dan lapan supaya jadikan pendidikan TVET ini setara PhD, “ katanya pada majlis pelancaran P10X Academy Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Katanya, masyarakat perlu membuka minda terhadap institusi TVET kerana ia membuka ruang serta peluang besar kepada golongan muda menimba ilmu serta kemahiran baharu.
Steven Sim berkata, pihaknya mahu membudayakan pemikiran bahawa peluang menyambung pelajaran bukan di universiti sahaja sebaliknya turut disediakan di institusi TVET.
Sementara itu, katanya, sistem bersepadu UP_TVET menerima sebanyak 140,000 permohonan kemasukan ke institusi TVET setakat ini.
“Mungkin satu hari, kita akan masukkan juga institusi TVET swasta supaya senang pelajar-pelajar yang ingin ambil jurusan TVET dapat pergi ke website itu juga,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan setuju gubal Akta 652, kualiti TVET diangkat setaraf PHD appeared first on Kosmo Digital.