Auto Added by WPeMatico
Pembelaan tutup kes, bicara bela diri 1MDB selesai

PUTRAJAYA – Selepas 26 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan, perbicaraan 25 pertuduhan yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akhirnya ditutup di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Keputusan sama ada Najib disabitkan atau dibebaskan terhadap kesemua pertuduhan akan ditentukan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang akan mendengar hujahan kedua-dua belah pihak.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 September ini untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis dan sembilan hari bermula 21 Oktober bagi hujahan lisan.
Pada 30 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap kesemua 25 pertuduhan tersebut.
Sebelum ini, mahkamah juga telah menetapkan bicara bela diri itu bermula pada 2 Disember tahun lalu sehingga November tahun ini.
Najib kemudian memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.
Pada pembelaan bicara bela diri, Najib merupakan saksi pertama yang memberikan keterangan. Selain itu saksi lain ialah bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa.
Sementara semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan, antara saksi penting yang dipanggil memberikan keterangan ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Selain itu, adalah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan.
Mengikut pertuduhan, Najib didakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama pada 22 Mac dan 30 Ogos 2013.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang membawa denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE.
The post Pembelaan tutup kes, bicara bela diri 1MDB selesai appeared first on Kosmo Digital.