Auto Added by WPeMatico

TAWAU – Gara-gara lambat membuka pintu bilik, seorang wanita berusia lingkungan 50-an menjadi mangsa keganasan suaminya apabila ditumbuk di lengan kiri dalam kejadian di sebuah bilik sewa di Jalan Dunlop, di sini, tengah malam kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.01 tengah malam.
Katanya, suspek yang merupakan lelaki warga asing berusia 30-an, bertindak menumbuk isterinya kerana berang dengan tindakan mangsa.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan dan lebam di bahagian lengan sebelum tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau berjaya menahan suspek kira-kira pukul 1.50 petang semalam di tepi jalan sekitar bandar Tawau.
“Polis memandang serius kes keganasan rumah tangga dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menyelesaikan pertikaian secara berhemah tanpa mencederakan pasangan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE
The post Suami tumbuk isteri gara-gara lambat buka pintu bilik appeared first on Kosmo Digital.