Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN – Seorang ahli perniagaan direman tujuh hari kerana disyaki telah menggunakan suatu dokumen iaitu geran di Mukim Lenggeng yang mengandungi butiran matan palsu bagi mendapatkan wang hasil jualan tanah berjumlah RM3.8 juta.
Perintah reman yang dikenakan terhadap suspek bermula hari ini telah dikeluarkan Majistret Saiful Sayoti selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Jenayah 2 Seremban, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia lingkungan 40-an itu telah ditahan kira-kira jam 11 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki bersuhabat melakukan perbuatan tersebut bersama seorang lagi suspek utama dengan menggunakan dokumen mengandungi butiran matan palsu bagi mendapatkan wang hasil jualan tanah tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Pada Isnin lalu, media melaporkan seorang broker tanah dilanjutkan reman selama tiga hari lagi kerana disyaki telah menggunakan suatu dokumen iaitu geran yang disyaki mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan wang hasil jualan tanah yang berjumlah kira-kira RM3.8 juta.
Menurut sumber, suspek sebelum ini telah pun ditahan reman sejak 5 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Ahli perniagaan direman tujuh hari guna dokumen palsu appeared first on Kosmo Digital.