Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Seramai 22 individu termasuk dua warga tempatan dicekup dalam serbuan Ops Gegar yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sebuah pusat spa sekitar Bukit Bintang, hari ini.
Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, dalam operasi itu, seramai 29 orang diperiksa membabitkan warga tempatan iaitu lima lelaki dan empat perempuan.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 22 individu iaitu dua lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis, selain 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjalankan aktiviti tidak bermoral serta tidak memiliki permit kerja yang sah.
“PATI yang ditahan terdiri daripada enam wanita Indonesia, Vietnam (5), Mongolia (1), tiga lelaki dan dua wanita Bangladesh, China (1) serta Afghanistan (2),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wartawan Kosmo! yang turut menyertai operasi itu mendapati ada antara mereka yang ditahan menangis sambil merayu kepada pihak berkuasa agar dibebaskan.
Susulan itu, sebanyak tujuh notis saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada pelanggan bagi hadir membantu siasatan di Pejabat JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan membabitkan warga asing.
Sementara itu, dua penjaga premis berkenaan disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu masing-masing bagi kesalahan tinggal lebih masa serta tidak memiliki pas atau permit yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pekerja menangis, spa Bukit Bintang jadi sarang PATI kena gempur appeared first on Kosmo Digital.