Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh adalah di luar kawalan dan bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak wajar dipersalahkan dengan didakwa tidak memberikan perlindungan kepada Pamela susulan kehilangannya pada 9 April lalu.
Malah, kata Azam, tiada sebarang petanda awal yang menunjukkan wujud ancaman terhadap keselamatan Pamela sebelum kejadian.
“Orang ramai tidak boleh menyalahkan SPRM kerana kejadian berlaku di jalan awam dan bukan di dalam kawasan SPRM, ia di luar kawalan kami.
“Sepanjang beberapa kali kehadiran Pamela ke ibu pejabat SPRM sebelum ini bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram, tiada sebarang insiden mencurigakan berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Justeru Azam berkata, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Mengulas mengenai perkembangan siasatan kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Pamela, Azam berkata, siasatan akan dikendalikan sepenuhnya oleh SPRM tanpa melibatkan agensi lain pada masa ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan siasatan kehilangan Pamela yang disyaki diculik kini tertumpu ke arah suaminya, Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan masih berjalan dan setakat ini pihaknya tidak menolak kemungkinan suami kepada wanita terbabit adalah suspek selain beberapa individu lain.
Setakat ini, seramai 16 individu telah diambil keterangan termasuk suami Pamela.
Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan SPRM, Putrajaya sekitar pukul 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang pada 9 April lalu.
Difahamkan, Pamela bersama suaminya dalam proses penceraian yang rumit membabitkan harta bernilai tinggi.
Menurut peguam, Datuk N. Sivananthan, Pamela dan suaminya juga sedang disiasat oleh SPRM berkaitan kes penggubahan wang haram. – KOSMO! ONLINE
The post Kehilangan Pamela di luar kawalan SPRM appeared first on Kosmo Digital.