Auto Added by WPeMatico

![]()
ALOR SETAR – Eksekutif bank yang maut dipercayai dibunuh di rumahnya di Tanjung Bendahara, di sini hari ini bakal melangsungkan perkahwinan pada Jumaat ini.
Menurut ibu tiri mangsa, Norsiah Yahya, 65, Allahyarham Zahrullail Basir, 52, bersama tunangnya yang berusia 57 tahun datang menziarah mereka sekeluarga di Teluk Intan, Perak pada Selasa minggu lepas untuk membincangkan majlis pernikahan dan persandingan mereka itu pada 13 dan 14 Februari ini.
“Majlis itu akan diadakan di rumah kami di Teluk Intan dan arwah bersama tunangnya itu datang untuk berbincang persiapan terakhir. Arwah sungguh gembira untuk berkahwin semula dan semua persiapan dia sudah sediakan termasuk hantaran.
“Tidak sangka jadi begini. Majlis perkahwinan itu akhirnya akan jadi majlis tahlil,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Taman Sultan Abdul Halim, Tanjung Bendahara di sini hari ini.
Norsiah memberitahu, mereka menerima berita tentang kematian anak kedua daripada enam beradik itu pukul 9 pagi tadi sebelum bergegas ke Alor Setar.
“Suami (Basir Kosop, 70) menerima panggilan daripada anak ketiga mangsa yang memberitahu ibunya sudah tiada… ditikam. Menggigil kami semua. Saya dimaklumkan kejadian disedari oleh anak ketiga arwah yang cuba mengejutnya ketika ingin ke kolej.
“Mangsa tinggal di rumah itu bersama tiga anaknya yang berusia 18, 13 dan lapan tahun. Sementara tiga anak lain, 29, 28 dan 25 tahun menetap di luar. Anak keempat sempat menceritakan tentang kejadian bahawa terdapat kesan tikaman pada beberapa bahagian badan mangsa.
“Kejadian ini amat kejam dan kami tidak menyangka ia terjadi kepada arwah yang juga merupakan seorang anak yang bertanggungjawab dan prihatin dengan kami,” katanya.
Sementara menurut adik mangsa, Zuriani Basir, 47, mereka sekeluarga tidak menyangka perkara tersebut terjadi kepada arwah di saat-saat dia dilihat gembira kerana ingin memulakan hidup baharu.
“Arwah sudah lama hidup sendirian kerana digantung tidak bertali dan baru sahaja bercerai. Tidak lama lagi akan berkahwin dengan kawan lamanya, dia sungguh gembira. Namun ini kesudahannya.
“Kami masih menanti siasatan polis. Anak saudara saya ada maklum abangnya yang tinggal di Pulau Pinang pulang ke rumah mereka pada pukul 4 pagi tadi dan menghilangkan diri pagi ini. Polis giat burunya,” katanya.
Tambahnya, anak sulung kakaknya itu yang menetap dan bekerja di Pulau Pinang sejak beberapa tahun lepas jarang pulang ke rumah mereka sejak beberapa lama.- KOSMO! ONLINE
The post Mangsa bunuh bakal bernikah Jumaat ini appeared first on Kosmo Digital.