Auto Added by WPeMatico
MHO desak KDN dedah jumlah kes along yang berstatus NFA

![]()
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia supaya mendedahkan jumlah sebenar kes pinjaman wang tidak berlesen atau along yang diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’ (NFA).
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, walaupun pihak berkuasa mendedahkan sebanyak 1,452 kes berkaitan pinjaman tidak berlesen dilaporkan, namun angka itu tidak memberi gambaran menyeluruh sekiranya tidak disertakan dengan data berapa banyak kes yang tidak dibuka kertas siasatan.
“Kita nak tahu, daripada 1,452 kes itu, berapa banyak yang dibuka kertas siasatan dan berapa pula yang diletakkan sebagai NFA mahupun yang disapu di bawah karpet. Ini penting supaya masyarakat tahu sejauh mana tindakan sebenar diambil terhadap aduan mangsa,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.
Menurut beliau, pihaknya sering berdepan situasi di mana laporan polis yang dibuat oleh pengadu tidak dibuka siasatan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, meskipun bukti jelas menunjukkan aktiviti pinjaman tanpa lesen berlaku.
“Sebagai contoh, kes terbaru yang kita wakili, laporan pertama dibuat pada 28 September berhubung gangguan oleh pemungut hutang, tetapi sehingga 8 November, tiada tindakan diambil. Akhirnya mangsa diugut dan dipermalukan. Inilah yang meresahkan kami,” ujarnya.
Hishamuddin menegaskan, kelewatan membuka kertas siasatan menyebabkan risiko kepada mangsa meningkat, termasuk kemungkinan dipukul, diugut atau dipaksa melakukan perkara di luar batas kemanusiaan.
“Kalau laporan itu dibiarkan disapu dibawah karpet, siasatan tidak bergerak dan akhirnya kes jenayah sebenar tidak dapat dikesan. Bila mangsa dibogelkan, dipukul atau video mereka disebar, baru kita nak bertindak dan pada masa itu sudah terlambat,” tegasnya.
Beliau berkata, perbuatan memberi pinjaman tanpa lesen sudah pun merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, tanpa perlu menunggu wujudnya elemen ugutan, serangan atau penyebaran bahan lucah.
“Ini jenayah asas. Bila seseorang beri pinjaman tanpa lesen, itu sendiri dah satu kesalahan. Tak perlu tunggu sampai ada balingan cat, ugutan atau kecederaan baru nak buka siasatan,” katanya.
Hishamuddin turut menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, agar melihat secara menyeluruh isu kelewatan siasatan ini di peringkat bawah, yang sering menyebabkan mangsa hilang kepercayaan terhadap sistem keadilan.
“Kami bukan nak kecam polis, tapi kami mohon supaya perkara ini diperhatikan dengan serius. Ramai mangsa telefon saya dalam keadaan menggigil, trauma, bahkan ada yang terfikir untuk bunuh diri akibat tekanan daripada along,” katanya.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan bahawa jika isu ini tidak ditangani segera, sindiket along boleh berkembang menjadi rangkaian jenayah terancang yang sukar dibendung.
“Masalah ini dah lama. Kalau dibiarkan, ia membiak menjadi satu barah sosial. Bermula daripada jenayah komersial, akhirnya menjadi jenayah berat. Kita tak nak tunggu sampai ada kematian baru nak bertindak.
“Kami mahu keadilan ditegakkan dan mangsa dibela. Jangan biarkan laporan mereka disenyapkan sebagai cover report. Ini bukan soal statistik, ini soal nyawa dan maruah manusia,” tegasnya — KOSMO! ONLINE
The post MHO desak KDN dedah jumlah kes along yang berstatus NFA appeared first on Kosmo Digital.