Auto Added by WPeMatico

![]()
BUKIT MERTAJAM – Dua pengasuh direman tujuh hari lagi bagi melengkapkan siasatan kes kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, Isnin lalu.
Tempoh reman bermula 17 hingga 23 Mac ini terhadap kedua-dua suspek wanita berusia 22 tahun itu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit bagi di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi Kosmo! turut mengesahkan kebenaran untuk menyambung reman selama tujuh hari lagi terhadap kedua-dua suspek terbabit.
“Ia bagi membantu melengkapkan siasatan kes kematian bayi tersebut,” katanya di sini, sebentar tadi.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi dengan kedua-dua tangan bergari dan memakai pakaian lokap berwarna ungu sambil diiringi anggota polis.
Sebelum ini, kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula 10 Mac lalu selepas ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan seorang bayi berusia empat bulan, Hayl Haarith Mohd. Syafaeez, meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan, kira-kira pukul 4.20 pagi, Isnin lalu.
Susulan insiden berlaku, dua suspek wanita yang juga pekerja taska telah ditahan polis di taska berkenaan. Difahamkan, satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian berlaku turut tular di media sosial. -KOSMO! ONLINE
The post Bayi maut di taska: Dua pengasuh disambung reman lagi tujuh hari appeared first on Kosmo Digital.
