Auto Added by WPeMatico

![]()
PASIR PUTEH – Akibat dendam dan perselisihan faham yang lama, seorang lelaki parah ditetak bapa saudara angkatnya dalam kejadian di Kampung Gong Kulim, di sini semalam.
Dalam kejadian pada semalam petang itu, mangsa yang berusia 44 tahun parah pada bahagian lengan hingga bahu kanan dan sebahagian badannya selepas ditetak dengan senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan pergaduhan antara kedua-dua lelaki itu kira-kira pukul 6.45 petang semalam.Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek merupakan penoreh getah yang berusia 55 tahun dan mempunyai pertalian adik angkat dengan ibu mangsa.
“Suspek dipercayai menetak bahagian lengan hingga bahu kanan dan badan mangsa dengan senjata tajam. Siasatan lanjut mendapati, kejadian itu disyaki berpunca daripada perselisihan faham yang telah lama berlaku antara kedua-dua individu.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Anis, di sini untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga Khamis depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata. – KOSMO! ONLINE
The post Tetak anak saudara angkara dendam lama appeared first on Kosmo Digital.