Auto Added by WPeMatico

IPOH – Seramai 194 mangsa banjir melibatkan 48 buah keluarga direkodkan di Muallim dengan kesemua mereka ditempatkan di dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka petang tadi.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bendana Negeri Perak berkata, dua buah PPS tersebut ialah PPS Dewan Orang Ramai Kampung sungai Sekiah Batu 7 yang menempatkan 126 mangsa (31 keluarga).
“Satu lagi PPS ialah PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir yang menempatkan 68 orang mangsa melibatkan 17 buah keluarga.
“Kesemua mangsa itu datang dari dua buah kampung iaitu Kampung Sungai Sekiah Batu 7 dan Kampung Pasir di daerah Muallim,” katanya di sini, hari ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut turun padang bagi melihat sendiri keadaan mangsa banjir di kawasan yang terjejas.
Beliau kemudiannya turut meninjau sekitar Kg. Baru, Behrang Ulu dan Kampung Orang Asli (KOA) Sg Lembing yang turut terkesan dengan bencana banjir.
“Kita akan usaha sedaya upaya mungkin untuk membantu meringankan beban mangsa-mangsa.
“Penghargaan buat para sukarelawan, seluruh agensi dan jabatan yang telah bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja menyelamat serta membantu mangsa-mangsa banjir ini.
Mudah-mudahan mereka yang terjejas tabah dalam mengharungi dugaan ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Dua PPS tempatkan 194 mangsa banjir di Muallim appeared first on Kosmo Digital.