Auto Added by WPeMatico
Bantuan untuk petani, penternak dan nelayan terjejas akibat banjir

![]()
PETALING JAYA – Petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir diminta memaklumkan keadaan mereka kepada pejabat pertanian terdekat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, KPKM akan meneliti bantuan yang sewajarnya untuk mereka.
“Sekiranya mengalami kerosakan harta benda atau kehilangan sumber pendapatan akibat banjir, kementerian akan menyalurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Terdahulu, Mohamad berkata, beliau bersimpati terhadap semua mangsa banjir di beberapa negeri yang sedang berdepan ujian berat.
Kata beliau, kesemua mangsa diminta bersabar dan kuatkan semangat kerana ujian tersebut pasti ada hikmahnya.
Beliau berkata, kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan sedang turun ke lapangan bagi menyalurkan bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa dijaga.
“Bang Mat (Mohamad) amat menghargai semua pasukan penyelamat, anggota agensi kerajaan, sukarelawan dan rakyat yang turun membantu mangsa-mangsa banjir.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar keadaan cuaca segera pulih dan semua mangsa diberi perlindungan serta kekuatan untuk menghadapi dugaan ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Bantuan untuk petani, penternak dan nelayan terjejas akibat banjir appeared first on Kosmo Digital.