Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Proses persempadanan antara Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dijangka dapat dimuktamadkan sepenuhnya hujung tahun ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebahagian besar proses melibatkan kawasan berkenaan telah hampir dilengkapkan.
“Setakat ini, proses persempadanan di Putrajaya telah selesai sepenuhnya termasuk di kawasan seperti Sepang dan Kuala Langat.
“Kerja-kerja pengukuran sempadan telah dilaksanakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dengan kerjasama agensi berkaitan,” katanya selepas Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), hari ini.
Bagaimanapun, kata Amirudin, beberapa kawasan lain yang melibatkan Kuala Lumpur seperti Ampang, Petaling Jaya dan Subang masih dalam proses untuk diselesaikan.
“Kawasan terbabit dijangka mengambil masa lebih lama berikutan kerumitan sempadan dan pembangunan yang padat.
“Persempadanan di kawasan tersebut memerlukan penelitian lebih mendalam sebelum dimuktamadkan, tetapi kita optimis ia dapat diselesaikan secara keseluruhannya,”ujarnya.
Pada 21 Februari lalu, Amirudin memaklumkan, JUPEM sudah menyelesaikan fasa pengukuran dan pemetaan sempadan di antara Selangor dan Kuala Lumpur dengan jarak sejauh 103.7 kilometer (km) penghujung Oktober tahun lalu.
Jelasnya lagi, berdasarkan proses pengukuran dan pemetaan berkenaan, secara keseluruhan kira-kira 86 lembar peta dengan keluasan 103.7 km direkodkan. – KOSMO! ONLINE
The post Persempadanan semula Selangor dan Putrajaya selesai hujung tahun ini appeared first on Kosmo Digital.