Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menafikan dakwaan dibuat oleh individu menggunakan akaun Facebook, Datu Bentan Alamin, yang menyebarkan kenyataan kononnya beliau pernah mengeluarkan arahan untuk menyekat mana-mana kandungan berkaitan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Fahmi menerusi hantaran di Facebook beliau menegaskan, dakwaan berkenaan adalah fitnah semata-mata.
“Saya ingin menegaskan bahawa hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Datu Bentan Alamin adalah fitnah.
“Saya tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan mahupun arahan seperti yang didakwa,” katanya.
Fahmi turut memuat naik tangkap layar hantaran pengguna Datu Bentan Alamin.
“Saya telah mengarahkan semua pegawai untuk memantau dan menyekat konten media sosial terkait isu kematian Zara Qairina Mahathir.
“Zara Qairina Mahathir terjatuh dan meninggal dunia bukan dibuli atau dibunuh. Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi Malaysia. Undilah Pakatan Harapan PH di PRN-17 di Sabah,” tulis hantaran tersebut.
Beliau memaklumkan, satu laporan polis telah dibuat terhadap pemilik akaun tersebut bagi tindakan lanjut.
Dalam masa sama, Fahmi menyeru orang ramai agar berhenti menyebarkan fitnah serta tidak menunggang sebarang isu demi kepentingan peribadi.
“Termasuk menjadikan kes Zara Qairina sebagai bahan untuk dimanipulasi,” tegasnya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilaporkan berkata, tindakan segelintir pihak yang menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial berkaitan kes kematian Zara Qairina dikhuatiri boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.
Menurut Mohd. Khalid, pihaknya berusaha melaksanakan yang terbaik bagi memastikan undang-undang ditegakkan.
Sebelum ini, lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina, bulan lalu.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah larangan bagi menghalang sebarang maklumat dalam prosiding berkenaan didedahkan kepada umum. – KOSMO! ONLINE
The post Hantaran Datu Bentan Alamin fitnah – Fahmi Fadzil appeared first on Kosmo Digital.