Auto Added by WPeMatico

BANDAR GAZA – Israel melancarkan serangan darat ke atas Bandar Gaza sebelum subuh hari ini, sejurus selepas lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, yang menyokong matlamat Rejim Zionis untuk menghapuskan Hamas.
Pada waktu malam, tentera melancarkan serangan besar-besaran ke atas Bandar Gaza ketika tentera Israel bergerak lebih dalam ke hab bandar terbesar di wilayah itu.
“Malam tadi, kami beralih ke fasa seterusnya iaitu fasa utama rancangan untuk Bandar Gaza. Pasukan kami telah meluaskan aktiviti darat ke kubu utama Hamas di Gaza, iaitu Bandar Gaza,” kata seorang pegawai tentera kepada wartawan.
“Kami bergerak ke arah pusat Bandar Gaza,” tambahnya.
Apabila ditanya sama ada tentera telah bergerak lebih jauh ke tengah Bandar Gaza, pegawai tersebut menjawab: “Ya.”
Menteri Pertahanan, Israel Katz berkata, Bandar Gaza sedang terbakar.
Saksi memberitahu AFP mengenai pengeboman tanpa henti di Bandar Gaza, yang kebanyakannya sudah musnah selepas hampir dua tahun serangan Israel sejak Oktober 2023.
“Kami boleh mendengar jeritan mereka,” kata penduduk berusia 25 tahun, Ahmed Ghazal.
Rubio menawarkan sokongan padu untuk serangan itu semalam ketika beliau bertemu Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang telah mengarahkan tentera Israel untuk merampas Bandar Gaza. – AFP
The post Israel lancar serangan darat ke atas Bandar Gaza appeared first on Kosmo Digital.