Auto Added by WPeMatico

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri menahan dua pegawai Imigresen dipercayai terlibat dalam kegiatan salah laku ‘Counter Setting’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, semalam.
Penahanan kedua-dua individu terbabit dilakukan dalam satu operasi khas berhubung kegiatan penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang dikesan berlaku di lokasi berkenaan membabitkan kemasukan warga asing.
Sumber SPRM berkata, siasatan akan dilakukan di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) termasuk mengenal pasti jaringan dan modus operandi tersebut sepenuhnya.
“Kegiatan yang dikenali sebagai ‘Counter-Setting’ ini melibatkan kemasukan warga asing ke Malaysia tanpa melalui proses tapisan serta pemeriksaan imigresen yang ditetapkan.
“Ia juga membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai-pegawai Imigresen yang terlibat secara sengaja membenarkan kemasukan warga asing,” katanya di sini, hari ini.
Justeru katanya, SPRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang bentuk rasuah atau salah guna kuasa, khususnya dalam sektor penguatkuasaan yang melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui tentang sebarang aktiviti rasuah yang berlaku dalam sektor awam atau swasta.
“SPRM kekal komited dalam usaha membanteras rasuah dan memastikan integriti perkhidmatan awam sentiasa terpelihara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pegawai Imigresen ditahan babit kes ‘Counter Setting’ di LTAPP appeared first on Kosmo Digital.