Auto Added by WPeMatico

LEGENDA badminton negara, Datuk Rashid Sidek menegaskan bahawa pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao perlu mula mempamerkan prestasi yang konsisten serta memenangi gelaran juara.
Menurut Rashid, Jun Hao tidak lagi boleh berlindung di sebalik alasan sebagai pemain muda yang masih memerlukan masa dan terus bereksperimen memandangkan usianya kini mencecah 26 tahun.
Rashid menegaskan bahawa Jun Hao sepatutnya sudah mencapai tahap di mana beliau mampu melayakkan diri secara konsisten ke peringkat separuh akhir dan final dalam kejohanan antarabangsa.
“Kalau tengok prestasi Jun Hao, sekarang ini dia memang dah kena mula menunjukkan prestasi. Kalau boleh, layak ke separuh akhir atau final.
“Sebelum ini, dia pernah sampai ke suku akhir. Jadi, kalau boleh, biarlah lebih tinggi lagi, sampai ke perlawanan akhir.
“Kalau ikutkan pendedahan, dia dah dapat banyak pendedahan. Dah bertahun-tahun dia bertanding di luar. Jadi, tak perlu lagi alasan perlukan masa. Umur dia pun dah 26 tahun,” kata Rashid.
Beliau membandingkan pencapaian Jun Hao dengan legenda perseorangan negara, Datuk Seri Lee Chong Wei yang sudah bergelar juara pada usia lebih muda.
Setakat ini, pencapaian terbaik Jun Hao dalam siri Jelajah Dunia BWF hanyalah muncul naib juara Masters Jepun (Super 500) tahun lalu, selain dua kejuaraan kecil di Masters Indonesia 2022 dan Masters Malaysia 2023.
Musim ini, pencapaian paling hampir hanyalah mara ke suku akhir di Terbuka Singapura dan Terbuka Hong Kong, yang menyaksikan dia tewas kepada pemain nombor empat dunia dari China, Li Shi Feng, Jumaat lalu.
The post Jun Hao sudah tidak ada alasan appeared first on Kosmo Digital.