Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi sangat terkejut selepas menerima keputusan rayuan yang dilakukan oleh pihaknya kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah ditolak.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, FAM akan memohon butiran penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya bagi mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tibang Tara Sukan (CAS).
“FAM telah menerima keputusan rayuan daripada FIFA, di mana rayuan kami telah ditolak.
“FAM akan menulis kepada FIFA untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya bagi mengemukakan rayuan ke CAS.
“Ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini, dan pihak peguam serta pengurusan kami amat terkejut dengan keputusan tersebut. Bagaimanapun, FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sebagai rekod, tribunal rayuan FIFA bersidang di ibu pejabat perundangan badan induk itu di Miami, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis bagi memutuskan keputusan berkenaan rayuan yang dikemukakan oleh FAM pada awal bulan lalu.
Pada September lepas, arena bola sepak negara digemparkan susulan hukuman FIFA telah menggantung tujuh pemain warisan Malaysia selepas didapati melakukan pemalsuan dokumen selain memberi denda kepada FAM sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta).
Tujuh pemain warisan Harimau Malaya digantung FIFA seperti Imanol Machuca, Facundo Garces, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal. – KOSMO! ONLINE
The post FAM terkejut, sedia heret kes FIFA ke CAS appeared first on Kosmo Digital.