Auto Added by WPeMatico

AMPANG JAYA – Polis tidak menolak kemungkinan lelaki orang kurang upaya (OKU) mental yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu di kawasan Bukit Tabur di Kampung Warisan, Taman Melawati pergi ke lokasi lain.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah dihentikan, semalam.
“Operasi SAR di Taman Melawati sudah dihentikan sejak 6 petang, semalam. Sepanjang operasi pencarian dilakukan tiada sebarang petunjuk ditemui di kawasan sekitar.
“SAR akan dibuka semula sekiranya terdapat petunjuk baru,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Mohd. Azam berkata, polis membuka satu kertas inkuiri berkaitan orang hilang.
Terdahulu Mohd Azam dilaporkan berkata, Balai Polis Taman Melawati menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 1.04 tengah hari kelmarin, daripada seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun.
Jumaat lalu, pengadu menghantar anaknya, Norhafsham Nazri, 43, ke Kampung Warisan Taman Melawati untuk berehat kira-kira pukul 2.30 petang.
Dia kemudian mendapati anaknya masih belum pulang ke rumah sekitar pukul 9.30 malam sebelum dia pergi ke Kampung Warisan untuk mencari mangsa, namun tidak dijumpai.
Sebelum ini, kira-kira 60 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menyertai operasi SAR bermula Sabtu lalu.
Operasi itu turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan badan bukan kerajaan (NGO). - KOSMO! ONLINE
The post SAR cari lelaki OKU hilang di Bukit Tabur dihentikan appeared first on Kosmo Digital.