Auto Added by WPeMatico

AMPANG JAYA – “Hidup atau sudah tiada, kami tetap mahu jumpa Norhafsham, biar kami lihat jasadnya”.
Demikian kata Noridah Jaffar, 72, iaitu ibu kepada lelaki orang kurang upaya (OKU) mental Norhafsham Nazri, 43, yang dilaporkan hilang di kawasan Bukit Tabu dekat Kampung Warisan, Taman Melawati, sejak Jumaat lalu.
Menurutnya, anaknya yang mesra disapa Icam itu didiagnos OKU mental sejak 2018 akibat mengalami kemurungan selepas bercerai dan masih mendapatkan rawatan di hospital.
“Saya rasa dia ada, tengok biliknya kosong buatkan saya sedih. Selalunya dia keluar jauh mana pun mesti akan balik juga tetapi kali ini dia tak pulang sudah enam hari.
“Saya risau, dia keluar sehelai sepinggang tanpa makanan dan pakaian. Macam manalah keadaan dia, entah makan atau tidak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Sebelum ini, polis telah menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Norhafsham, sejak pukul 6 petang, semalam susulan tiada sebarang pentunjuk baharu.
Bagaimanapun, Noridah berkata, dia akur keputusan pihak berkuasa menghentikan SAR namun, mengalu-alukan bantuan pihak lain untuk mencari Norhafsham.
“Icam diuji dengan penyakit itu tetapi dia anak yang baik, rajin membantu orang, hormat orang tua dan seorang yang lembut.
“Saya sangat berharap anak saya segera ditemui dan walaupun operasi sudah tamat tetapi kami masih tunggu di sini,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Nazri Harun, 69, berkata, anaknya itu sering ke kawasan kolam mandi di situ untuk berehat namun, mengakui ia adalah kali pertama Norhafsham ke (Bukit Tabur timur) yang mendakwa mahu ke istana puteri bunian.
“Ada orang jumpa beg sandang Icam yang berisi rokok, sikat dan minyak wangi kira-kira 100 meter dari sini (kaki bukit) yang menjadi pentunjuk dia naik ke atas. Sebelum ini juga anak pernah cerita mengenai bunian.
“Ada juga orang beritahu Icam masih ada di sana, masuk dalam tempat bunian dan macam-macam cerita. Saya reda dengan apa yang berlaku tetapi berharap anak dapat ditemui,” jelasnya.
Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Tarzan, 50, berkata, dia merupakan salah seorang individu yang membantu mencari mangsa.
Difahamkan, Norhafsham telah memasuki kawasan kebun milik lelaki itu yang juga kawasan larangan dan milik persendirian pada pukul 11 pagi, namun telah diminta untuk beredar.
“Ketika jumpa lelaki itu dia dakwa mahu jumpa isterinya dan saya tahu dia tak sihat sebab itu saya suruh dia turun serta minta nombor telefon ayahnya minta ambil lelaki itu.
“Saya jumpa beg mangsa dan cari dia bermula pukul 6 petang hingga 4 pagi tapi tidak jumpa sebarang jejak. Kita tak boleh nak nafikan kaitan unsur mistik kerana di hutan ini memang biasa,” jelasnya.
Tambahnya, ini kejadian pertama orang hilang paling lama di Bukit Tabur yang mencecah hampir enam hari. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Hidup atau sudah tiada, kami tetap mahu jumpa Icam’ appeared first on Kosmo Digital.