Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada sektor pekerjaan, sebaliknya perlu dikuasai untuk memberi manfaat kepada kualiti kualiti pekerjaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dari segi dasar dan berdasarkan analisa, AI tidak mampu untuk menggantikan wartawan ataupun pembaca berita sepenuhnya.
“Namun kita menjangkakan, mereka akan digantikan oleh wartawan dan pembaca berita yang fasih menggunakan AI,” katanya selepas menyempurnakan perasmian Simposium Penyiaran Digital ABU ke-22 (DBS 2026) di sini semalam.
Bertemakan “The Rising Synthetic Era”, simposium ini mengumpulkan delegasi antarabangsa untuk membincangkan evolusi teknologi, terutamanya impak kecerdasan buatan (Ai) terhadap industri penyiaran.
Setiap tahun, DBS berjaya menarik lebih 1,200 peserta termasuk pakar media, eksekutif kanan, dan pembuat keputusan daripada organisasi penyiaran, badan kawal selia, institusi kerajaan, serta penyedia penyelesaian teknologi.
Bagi menyokong perubahan digital tersebut, Fahmi memaklumkan mengenai inisiatif kerajaan dalam menyediakan dana khas sebelum ini.
“Itulah sebab kerajaan telah melaksanakan Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta yang boleh dimanfaatkan oleh semua syarikat media dan badan-badan berkaitan untuk memastikan penggunaan teknologi AI dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebaik mungkin tanpa membuang pekerja,” tambahnya lagi.
Beliau turut menyeru rakan media untuk memainkan peranan dalam meningkatkan literasi Ai dalam kalangan masyarakat bagi membolehkan rakyat membezakan antara kandungan asli dan palsu yang bertujuan untuk penipuan atau deepfake (pemalsuan wajah). — KOSMO! ONLINE
The post ‘AI bukan pengganti wartawan’ appeared first on Kosmo Digital.
