Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Seorang peniaga durian sempat meluahkan berasa tertekan dengan perniagaannya yang dikatakan merosot sebelum ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan parkir kenderaan di Plaza Melaka Raya, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 23 tahun ditemui terbaring di atas jalan dalam keadaan berlumuran darah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil soal siasat saksi yang juga teman wanita mangsa memberitahu, sebelum kejadian mereka telah keluar makan bersama di sebuah restoran di kawasan Kota Laksamana pada pukul 12 tengah hari.
“Saksi memaklumkan bahawa sejak tiga atau empat hari yang lalu, si mati sering mengadu perniagaan duriannya di Bukit Cina merosot dan berasa sedih, malah pada tengah hari tadi dia juga enggan makan dan hanya membungkus makanan untuk dibawa pulang.
“Selepas itu, si mati telah memandu kereta jenis Toyota Hilux menuju ke arah tempat kejadian dan setiba di tingkat empat bangunan tersebut dia memberhentikan kenderaan kerana ingin membuang air kecil sebelum terjatuh,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, semakan lanjut mendapati si mati mempunyai tiga rekod lampau melibatkan kes jenayah.
“Pasukan forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh meliputi kawasan penemuan mayat si mati serta tingkat empat tempat letak kereta, selain sampel darah turut diambil untuk tujuan siasatan lanjut.
“Pemeriksaan pada tubuh badan si mati mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE
The post Tauke durian maut, tertekan buah tak laku appeared first on Kosmo Digital.