Auto Added by WPeMatico

KANGAR – Polis merampas sejumlah 409 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja dalam satu serbuan di muara Kuala Sungai Baru, Kuala Perlis pada Selasa lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, dalam serbuan pada pukul 2 petang itu, pasukan Task Force Balai Polis Kuala Perlis bersama Unit Risikan Marin Kedah/Perlis telah melakukan pemerhatian dan tinjauan selama dua jam di kawasan tersebut.
“Bot fiber tanpa nombor pendaftaran itu dipercayai ditinggalkan dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui dalam keadaan mencurigakan. Anggota pasukan kemudiannya menghampiri dan menjalankan pemeriksaan menemui 24 kotak berisi 409 ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat satu kilogram setiap satu, menjadikan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM1.27 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar.
Menurut beliau, bot fiber berwarna merah, biru dan putih itu turut dirampas bersama enjin sangkut jenis Yamaha Enduro 30hp dan dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Rampasan barang kes akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan,” ujarnya.
Kata beliau, siasatan awal mendapati tiada sebarang pergerakan keluar masuk dikesan di sekitar lokasi serbuan dan pihaknya percaya sindiket cuba menyeludup dadah itu melalui laluan air dari negara jiran. – KOSMO! ONLINE
The post Polis rampas ganja RM1.27 juta dalam sampan tinggal appeared first on Kosmo Digital.