Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – ASEAN bersetuju bahawa sebarang keputusan berhubung tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) perlu dibuat berdasarkan persefahaman bersama dalam kalangan anggota blok serantau itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang keputusan yang dibuat tidak seharusnya mengorbankan mana-mana negara anggota.
“Mengenai tarif, ketika meneruskan rundingan dua hala, konsensusnya adalah perlu ada beberapa bentuk persefahaman dalam ASEAN dan sebarang keputusan tidak sepatutnya mengorbankan negara lain,” katanya pada sidang akhbar khas sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Anwar menegaskan bahawa ASEAN perlu melindungi kepentingan kira-kira 650 juta penduduk di rantau ini dan menyifatkan persepakatan tersebut sebagai satu kemajuan penting.
“Daripada situ, sudah tentu menteri, pelbagai kementerian dan pegawai akan bekerja mengenai apa yang memberi kesan dari segi pelaksanaan sebenar program pada Oktober nanti (merujuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47),” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada ASEAN merancang untuk mengadakan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Anwar mengesahkan perkara itu akan dilaksanakan. – KOSMO! ONLINE
The post Tarif AS: ASEAN sepakat keputusan perlu berdasarkan persefahaman serantau appeared first on Kosmo Digital.