Auto Added by WPeMatico

MAESTRO muzik tersohor, Datuk M. Nasir berharap kemelut hak cipta lagu antara Man Senoi, Mama Rap dan kumpulan 4U2C membabitkan penganjuran konsert WE 4U2C Live In Concert dapat diselesaikan secara baik.
M. Nasir atau nama penuhnya Mohamad Nasir Mohamed Sam, 67, berkata, pihak penganjur tidak mempunyai kuasa terhadap lagu-lagu yang digunakan dalam konsert kerana hak tersebut terletak di tangan pencipta dan pemegang hak cipta.
Berbincanglah. Masing-masing ada hak sebab pencipta lagu juga ada hak pada lagu-lagunya dan yang merakamkan pun ada hak.
“Kalau bawa berbincang, semua itu senang saja. Jadi biar mereka berbincang dulu.
“Penganjur hanya menganjurkan konsert, dia tiada kuasa ke atas lagu-lagu itu,” katanya kepada HibGlam pada sidang akhbar konsert M. N46IR Cipta 3 di ibu kota, hari ini.
Tambahnya lagi, pencipta lagu mempunyai kuasa besar dalam menentukan penggunaan karya mereka termasuk memberi kebenaran atau sebaliknya.
“Pencipta lagu mempunyai hak yang kuat pada lagu. Penyanyi kalau nak guna lagu itu, dia kena berunding dengan pencipta lagu itu.
Atau secara kebiasaannya dia tak perlu, tapi bayar melalui Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), yang penting dia bayar.
“Tapi kalau pencipta lagu tak bagi dia main, dia pun ada hak buat begitu,” ujarnya.
Sebelum ini, Man Senoi dan Mama Rap mendakwa tidak dihubungi mana-mana pihak berkaitan penganjuran konsert 4U2C, WE 4U2C Live in Concert yang dijadual berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 15 September depan.
Man Senoi dan Mama Rap turut berkongsi momen awal penubuhan 4U2C perjuangan mereka bagi memastikan kumpulan itu dapat mencipta nama dalam industri seni tanah air.
Man Senoi turut dilapor mempersoalkan bagaimana kumpulan berkenaan dapat mengadakan konsert anjuran Juss Event jika 25 lagu bakal dinyanyikan adalah hak milik syarikatnya dan Mama Rap, Zman Production.
Dalam perkembangan lain, M. Nasir bakal mengadakan konsert M. N46IR Cipta 3 di Axiata Arena pada 27 September depan.
Penganjur Icon Entertainment dan M.Nasir juga bangga untuk memperkenalkan konsep konsert iaitu Malam Ini Gua Rock. – HIBGLAM
The post Penganjur tiada kuasa, pencipta lagu, 4U2C kena berbincang – M. Nasir appeared first on HibGlam.