Auto Added by WPeMatico

WASHINGTON – Apple mengalami kerugian lebih AS$112 bilion (RM471 bilion) dalam masa cuma dua hari selepas melancarkan telefon pintar terbaharu, iPhone 17 di pasaran global, lapor akhbar The Business Standard.
Pelancaran iPhone 17 mencetuskan kekecewaan pelabur, menyaksikan saham Apple menurun 1.5 peratus pada 9 September lalu.
Saham syarikat gergasi teknologi itu terus menyusut kepada 3.23 peratus pada hari berikutnya.
Penganalisis-penganalisis berkata, kejatuhan itu meningkatkan keraguan terhadap keupayaan inovasi Apple selaku syarikat awam terbesar dunia.
Biarpun iPhone 17 memiliki kamera canggih berbanding model sebelumnya, ramai pelabur menganggap Apple ketinggalan dalam persaingan global teknologi kepintaran buatan (AI).
Antara kebimbangan lain adalah reka bentuk iPhone 17 lebih nipis serta margin keuntungan lebih rendah selepas Apple memilih menanggung lebih AS$1 bilion (RM4.2 bilion) dalam bayaran tarif berbanding menaikkan harga telefonnya.
Kerugian itu juga dikatakan hampir sama dengan nilai pasaran modal Nike.
Beberapa institusi kewangan termasuk Phillip Securities dan DA Davidson menurunkan penarafan saham Apple kerana iPhone 17 tidak menawarkan inovasi yang mencukupi.
“Apple tidak berinovasi. Mereka masih ketinggalan dalam AI dan pengguna ragu-ragu,” kata Pengasas Great Hill Capital, Thomas Hayes.
Model iPhone 7 dipasarkan sebagai telefon pintar paling nipis mengatasi peranti Galaxy S25 Edge Samsung. – AGENSI
The post Apple rugi RM471 bilion kerana iPhone 17 appeared first on Kosmo Digital.