Auto Added by WPeMatico

![]()
JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor bakal menawarkan rebat bil air kepada lebih 292,000 akaun pengguna yang terjejas teruk susulan insiden pencemaran di Sungai Johor baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerajaan negeri sedang memperhalusi perkara itu sebagai langkah membantu rakyat yang terpaksa berdepan gangguan bekalan air selama beberapa hari.
“Nantikan pengumuman kerajaan negeri, akan dipertimbangkan,” katanya ringkas dalam sidang akhbar di Taman Impian Emas, di sini hari ini.
Pada 26 Mei lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan 155,074 akaun pengguna yang terkesan krisis air ketika itu menerima rebat 15 peratus bagi bil bulan berkenaan.
Krisis tersebut berpunca daripada kerosakan luar jangka pam utama ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor hingga menjejaskan lebih 100,000 akaun di sekitar Johor Bahru.
Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, pencemaran Sungai Johor menyebabkan hampir 1.2 juta isi rumah di Johor Bahru, Kota Tinggi, Gelang Patah, Kulai dan Pontian berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih.
“Setakat 3 petang ini, 99 peratus pemegang akaun sudah kembali menerima bekalan air. Namun, 2,472 akaun masih belum disalurkan air sepenuhnya.
“Gangguan berlaku kerana tekanan air rendah dan proses memenuhkan tangki utama di Taman Impian Emas masih berjalan,” katanya.
Beliau menjangkakan pemulihan sepenuhnya pada pukul 12 tengah malam ini.
Bagi memastikan bekalan kecemasan diterima pengguna, 43 lori tangki milik Ranhill SAJ dikerahkan selain bantuan tambahan daripada Syarikat Air Melaka (SAMB) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains). – KOSMO! ONLINE
The post Pencemaran Sungai Johor: Rebat bil air untuk pengguna terjejas appeared first on Kosmo Digital.