Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan berputih mata apabila kehilangan lebih RM1 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan forex didakwa berlesen dan dikawal selia oleh pihak berkuasa kewangan di Labuan.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Lim, 56, berkata, bukan sahaja dirinya, malah seluruh ahli keluarga termasuk isterinya serta dua anak mereka turut menanggung kerugian apabila terpedaya dengan janji manis sindiket berkenaan sejak tahun 2022.
“Nilai kerugian yang dialami keluarga saya berjumlah melebihi RM1 juta. Anak saya yang berumur 29 tahun juga habis semua simpanannya kerana percaya dengan sindiket ini.
“Scammer ini sangat licik. Mereka arah kami masukkan wang ke bank pelaburan di Labuan. Semua nampak sah, lengkap dengan lesen dan kelulusan, tapi bila kami sedar ditipu hujung tahun lalu, barulah semuanya terbongkar,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Lim menegaskan, isu berkenaan bukan soal pelaburan gagal tetapi penipuan terancang yang menggunakan saluran bank dan institusi berlesen sebagai custodian (pemegang amanah) wang pelaburan.
“Kalau ratusan ribu ringgit masuk ke akaun, sepatutnya pihak berkuasa kewangan semak asal-usul dana itu. Tapi nampaknya, mereka biar saja duit scammer masuk tanpa kawalan,” ujarnya.
Dia turut berharap pihak polis dan agensi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya agar lebih ramai mangsa tampil menuntut keadilan.
“Ramai yang takut bersuara, tapi saya akan teruskan perjuangan ini supaya generasi muda lebih berhati-hati dengan pelaburan berlesen palsu seperti ini,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada 38 orang individu tertipu program pelaburan forex yang dianjurkan oleh sebuah syarikat kononnya berdaftar di bawah Labuan Financial Services Authority (LFSA).
“Syarikat ini menawarkan dan menjanjikan pulangan pelaburan di dalam urusan perniagaan forex dengan jumlah pulangan yang amat menarik.
“Jumlah keseluruhan pelaburan yang telah dilakukan oleh mangsa-mangsa di sini adalah sebanyak RM4,953,722.10,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Semua nampak sah, tapi kami ditipu appeared first on Kosmo Digital.