Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berpeluang meninjau operasi serta bertemu tenaga kerja yang menjadi tulang belakang kejayaan Perodua atau “King of the Road” di Sungai Choh, Rawang, Selangor.
Anwar dalam satu hantaran di laman X berkata, dalam sesi taklimat, beliau turut diberi penerangan mengenai prestasi semasa serta perancangan pelancaran model kenderaan elektrik (EV) pertama Perodua yang bakal diluncurkan tidak lama lagi.
Beliau berkata, inisiatif itu amat bertepatan dengan semangat Malaysia MADANI, yang menekankan kemajuan berpaksikan nilai mampan, keterangkuman dan kesejahteraan rakyat.
“Pembangunan EV oleh Perodua bukan sekadar memperkukuh keupayaan industri automotif nasional, tetapi juga mencerminkan komitmen terhadap teknologi hijau, penciptaan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, dan penawaran produk yang berpatutan serta berimpak sosial tinggi.
“Usaha ini memperlihatkan bahawa kemajuan ekonomi dan nilai kemanusiaan boleh bergerak seiring bahawa inovasi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar bukan pilihan yang berbeza, tetapi dua sisi dalam satu aspirasi negara MADANI yang menjuarai ekonomi hijau dan berdaya saing,” katanya di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau yakin Perodua akan terus menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh ekosistem automotif negara dan memacu Malaysia ke arah masa depan mobiliti yang lebih lestari, berdaya cipta dan berjiwa rakyat.
“Salut saya buat seluruh warga kerja Perodua yang menjadi nadi di sebalik kejayaan syarikat ini, bekerja dengan penuh dedikasi untuk memastikan setiap kenderaan yang dilahirkan menjadi kebanggaan negara.
“Semoga Perodua terus berkembang maju dan kekal menjadi jenama kenderaan pilihan utama rakyat Malaysia,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post PMX tinjau Perodua, EV pertama bakal dilancar appeared first on Kosmo Digital.