Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN – Isu jalan rosak dan tidak disiapkan mengikut spesifikasi standard semakin menghantui penduduk Taman Desa Kasia, Nilai di sini, kerana ia bukan sahaja menyebabkan mereka rugi, malah mengancam keselamatan jika berlakunya kemalangan.
Pengerusinya, Omarruddin Ibrahim berkata, isu itu telah dipanjangkan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) tahun lalu selepas kontraktor terlibat gagal menyiapkannya mengikut masa yang dijanjikan, namun masih tiada tindakan.
Katanya, penduduk telah melalui semua prosedur seperti aduan, mesyuarat dan surat rasmi, namun mereka hanya diberi harapan palsu.
“Kami bagaikan sudah hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah ini.
“Namun, kami tidak boleh berdiam diri kerana jika dibiarkan ia akan menyebabkan kemalangan, kerosakan kenderaan dan menjejaskan nilai hartanah penduduk. Kami mahu tindakan bukannya lagi alasan,” katanya.
Sebelum ini akhbar melaporkan pembangunan tidak menepati perancangan asal termasuk pembinaan pangsapuri dibimbangi bakal memberi pelbagai masalah dan kesan buruk kepada penduduk di Taman Desa Kasia, Nilai.
Dakwa Omarruddin, selain pelebaran dan pembaikan jalan, kerja-kerja infrastruktur seperti pembetungan dan pendawaian oleh kontraktor lantikan juga gagal disiapkan mengikut jadual.
Tambahnya, aduan rasmi telah dihantar kepada MBS pada 31 Disember 2024 dan disusuli pertemuan bersama wakilnya pada 17 Januari.
“Mereka seperti biasa hanya memberi jaminan bahawa kerja-kerja penurapan akan diselesaikan dalam tempoh sebulan tetapi sampai sekarang janji tinggal janji,” katanya.
Ujar Omarruddin, pihaknya juga telah melakukan tindakan susulan rasmi pada 8 Julai lalu untuk mendapatkan perkembangan terkini, namun tiada jawapan konkrit yang diberikan.
“Hanya dua kali kerja tampalan (patching) dilakukan yang tidak menyelesaikan masalah asas jalan berlubang dan tidak rata,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Nilai, J. Arul Kumar berkata, beliau telah mengarahkan MBS untuk mengambil tindakan segera berhubung isu tersebut.
“Isu ini terletak di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab mereka,” katanya.
The post ‘Letih dengar alasan, jalan tetap rosak’ appeared first on Kosmo Digital.