Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Beberapa penduduk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap aktiviti mengejut sahur secara berkumpulan yang didakwa berlaku seawal pukul 3 pagi di kawasan perumahan mereka di sebuah flat, di Taman Setia Balakong.
Dalam video tular di media sosial, aktiviti itu disertai dengan paluan gendang bersama-sama dengan nyanyian selawat kuat sekumpulan orang ramai kononnya untuk mengejutkan penduduk bangun sahur.
Bagaimanapun, tindakan tersebut disifatkan kurang bersesuaian, lebih-lebih lagi apabila berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dan mengganggu keharmonian penduduk setempat.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Faisal Daniel berkata, bunyi bising daripada kumpulan terbabit amat mengganggu ketenteraman, terutama bagi keluarga yang mempunyai anak kecil.
Menurutnya, walaupun teguran telah dibuat secara baik dan juga secara lebih tegas, namun ia didakwa tidak diendahkan oleh pihak terlibat.
“Tolonglah, kami tinggal di kawasan situ. Ada anak kecil. Terlalu awal untuk kamu semua buat bising kejut sahur.
“Cakap baik-baik pun tak dihiraukan. Saya cuma harap satu hari nanti ada keadilan untuk pihak kami,” ujarnya.
Tambah Faisal, aktiviti berkenaan kebiasaannya tertumpu pada hujung minggu atau hari cuti apabila kumpulan terbabit berkumpul beramai-ramai sebelum bergerak mengejutkan penduduk sekitar.
Katanya lagi, dia tidak pasti latar belakang atau kerakyatan individu yang terlibat, namun mendakwa budaya tersebut bukan amalan kebiasaan masyarakat tempatan.
“Kalau lihat daripada budaya, memang bukan budaya kita. Mereka pula majoriti. Saya hanya mampu tegur secara lembut dan kemudian secara tegas,” katanya.
Penduduk itu mengakui perasaan marah sukar dielakkan, lebih-lebih lagi apabila anak kecil terjaga awal dan gagal menyambung tidur sehingga menjejaskan waktu persekolahan.
“Memang marah itu ada. Lagi membimbangkan bila anak terjaga dan tak dapat sambung tidur. Sudah tentu mengganggu waktu mereka di sekolah,” katanya.
Seorang lagi penduduk, dikenali sebagai Iwe Lola berkata, dari awal dia menetap di kawasan tersebut budaya itu telah diterapkan tanpa mendapat persetujuan kesemua penduduk.
“Ni taman aku, dari dulu lagi macam ini. Dulu masa awal duduk sini terkejut malam raya dia orang pusing-pusing bawa benda besar depan rumah bising ramai-ramai. Sekarang katanya orang tak selesa, jadi dia orang pusing-pusing blok mereka sahaja.
“Dah adat mereka kot. Sini memang dia oorang dah ‘conquer’ (pegang). Dari sekolah, pekerjaan sampailah meniaga tepi jalan. Dah beranak-pinak dah jadi cucu-cicit dah,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, pendakwah, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle terpanggil mengulas mengenai isu tersebut setelah terkesan satu video memaparkan orang ramai memukul gendang sambil berselawat kuat.
Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin berkata budaya sedemikian seharusnya tidak perlu dikembangkan ke negara ini.
Menurut beliau, tidak semua individu diwajibkan untuk bangun bersahur, termasuk wanita yang haid atau nifas, kanak-kanak kecil serta ibu bapa yang mempunyai bayi dan memerlukan rehat secukupnya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Tolonglah, kami tinggal disitu, ada anak kecil, terlalu awal kejut sahur’ appeared first on Kosmo Digital.
