Auto Added by WPeMatico

GEORGE TOWN – Polis akan merujuk kertas siasatan berhubung kes bendera Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, semalam ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang, esok.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, setakat ini polis menerima 16 laporan polis di seluruh negara berkaitan kejadian itu, dengan 12 daripadanya direkodkan di Pulau Pinang, manakala baki empat laporan diterima dari luar negeri ini.
“Hasil siasatan berjaya membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun yang dipercayai terlibat dalam perbuatan berkenaan.
“Lelaki ini adalah pemilik kedai berkenaan dan dia ditahan malam semalam di Kepala Batas.
Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang esok dengan cadangan pertuduhan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Alwi, kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.-KOSMO! ONLINE
The post Polis berkas pemilik kedai pasang Jalur Gemilang terbalik appeared first on Kosmo Digital.