Auto Added by WPeMatico

RAUB – Kehilangan pekerjaan bukan penamat bagi seorang wanita apabila dia bangkit menjalankan bisnes kecil-kecilan untuk kelangsungan hidup termasuk menanggung rawatan anaknya yang menderita penyakit jantung berlubang.
Amizaliana Baharom, 41, menjual kuih sepit, sambal pucuk ubi dan sambal kantan bersama ibunya, Narizan Wahab, 61, di kedai-kedai sekitar kawasan kampung.
“Sebelum ini saya kerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang sawit, tetapi kontrak tidak disambung sejak dua bulan lalu.
“Buat masa ini kami baru mula, jual sikit-sikit dan rancang hendak hantar ke kedai-kedai yang sudi ambil,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, hasil jualan itu sedikit sebanyak digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga dan rawatan anak perempuannya, Nur Alya Najihah, 18, yang juga pelajar Tingkatan 6, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) LKTP Tersang yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak bayi.
“Nur Alya menjalani pembedahan pada 2020 di Institut Jantung Negara (IJN) bagi menutup lubang di jantung dan membuang tisu tidak normal. Kos rawatan cecah RM42,000. Mujur dapat bantuan tetapi tetap ada kos yang kami kena tanggung sendiri.
“Sekarang dia tidak perlu makan ubat tetapi doktor masih pantau sebab risiko komplikasi itu tetap ada,” jelasnya.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, dia kini tinggal berjauhan dengan suaminya, Muhd. Nor Faizal Ramli, 41, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Negeri Sembilan dengan gaji kira-kira RM2,000 sebulan.
“Suami saya duduk di Felda Palong sebab jaga bapanya yang uzur. Jadi hendak harap gaji dia sahaja memang tidak cukup. Itu sebab saya cuba bantu dengan berniaga,” katanya.
Jelas Amizaliana, anak sulung mereka, Muhd. Alif Najmi, 20, baru sahaja memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), namun runsing memikirkan kos untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Alif ada minat besar hendak sambung belajar serta berhasrat menjadi seorang guru tetapi bila tengok keadaan keluarga, dia jadi bimbang. Saya sebak bila fikirkan anak-anak semua ada cita-cita tetapi kami kekurangan dari segi kewangan,” katanya.
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Amizaliana di talian 011-6990 5280.
The post Jual sambal pucuk ubi cari duit belanja keluarga appeared first on Kosmo Digital.