Auto Added by WPeMatico

![]()
TEMERLOH – “Dia sepak, terajang, kemudian hentak kepala saya di mesin basuh sampai saya jatuh,” kata Rabiah Mat,78, yang tidak menyangka hasrat murninya memberi air kepada seorang lelaki berakhir dengan detik mencemaskan.
Rabiah berkata, dia tidak menyangka suspek yang berpura-pura meminta air sebenarnya ingin menyamun dan tergamak menyerangnya yang sudah tidak berdaya melawan dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu.
Katanya, kejadian itu menyebabkan dia masih trauma dan mengalami kecederaan di kepala dan tangan. “Dia datang naik motor, beri salam dan minta air. Saya pun masuk dapur nak ambilkan. Bila saya masuk ke rumah , dia ikut masuk sampai ke dapur. Lepas minum dua teguk, terus dia cengkam gelang saya dan tarik kuat,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, cucu mangsa, Muhammad Nazreeq Miqael Mohd Nazir, 15, berkata dia baru pulang dari sekolah ketika kejadian dan tertidur sebelum menyedari keadaan kecoh di rumah.
“Saya balik sekolah dalam pukul 4 petang, saya terlelap keletihan. Pintu semua berkunci, sebab tu saya tak dengar apa-apa. Saya sedar sekitar 4.40 petang bila dengar nenek ketuk pintu kuat-kuat.
“Saya rasa serba salah sebab tidak dapat bantu nenek, dan sejak balik dari hospital malam tadi pun saya tak boleh tidur lagi,”katanya.
Katanya, dia tinggal bersama di rumah berkenaan bagi menemani neneknya yang tinggal seorang diri, manakala ibu bapanya menetap di kawasan berhampiran.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun sehingga menyebabkan kecederaan.- KOSMO! ONLINE
The post ‘Dia sepak terajang kemudian hentak kepala saya’ appeared first on Kosmo Digital.