Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA- Sebuah pusat karaoke di ibu negara yang menawarkan langganan wanita warga asing sebagai peneman berhibur dengan bayaran sekitar RM100 hingga RM200 sejam digempur Jabatan Imigresen dalam satu serbuan dijalankan kelmarin.
Serbuan itu yang dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan selama seminggu turut menahan seramai 102 wanita warga asing terdiri dari warga Thailand, Vietnam, Indonesia, Laos dan Myanmar.
Jabatan Imigresen dalam satu kenyataan berkata, seramai 119 individu terdiri daripada tiga lelaki dan 102 perempuan warga asing serta 14 warga tempatan turut diperiksa dalam operasi itu.
Katanya, wanita warga asing berumur antara 21 hingga 35 tahun itu ditahan ekoran terkait pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan yang dikenalpasti termasuk penyalahgunaan pas lawatan dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
“Turut ditahan, dua warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai pemilik premis atau ‘penjaga’ kepada perempuan warga asing tersebut,” katanya hari ini.
Katanya, ketika serbuan dibuat, wanita terbabit sedang leka melayan pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan pelancong asing.
“Mereka dipercayai boleh mengaut keuntungan antara RM7,000 hingga RM25,000 sebulan melalui kegiatan ini,” katanya.
Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Bagi pemilik premis pula dikenakan tindakan kerana disyaki melindungi dan menggaji pendatang di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE
The post Pusat karaoke tawar gadis peneman harga RM100 hingga RM200 sejam digempur appeared first on Kosmo Digital.