Auto Added by WPeMatico

MENGHORMATI pendirian rakan lain, penyanyi Lah Ahmad mengakui tidak lagi menaruh harapan untuk melihat anggota kumpulan VE kembali sepentas selepas menyedari masing-masing mempunyai keutamaan hidup yang berbeza.
Lah atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad, 46, berkata, sebelum ini dia pernah beberapa kali menghubungi bekas ahli kumpulannya itu dengan hasrat menghidupkan semula VE yang pernah mencipta fenomena suatu ketika dahulu.
“Memang saya pernah tanya, ada perbincangan tetapi komitmen serta minat mereka sudah kepada kerjaya masing-masing menyebabkan hajat tersebut terkubur.
Saya pun dah semakin faham sekarang, kita tak boleh paksa orang lain. Kalau mereka nak buat (reunion), mereka dah buat lama dahulu,” katanya ketika ditemui pada sidang media Soul City: An R&B Night, baru-baru ini.
Lah berkata demikian mengulas ketiadaan grup vokal harmoni VE dalam senarai konsert membabitkan barisan penyanyi pop R&B di Unifi Arena Bukit Jalil pada 10 Julai ini.
Pada masa sama, Lah yang hampir dua dekad bergerak solo selepas keluar daripada VE menyatakan usahanya sudah dihentikan hingga setakat ini.
“Kalau muzik ini kena paksa, orang boleh nampak. Orang boleh tahu seseorang itu sebenarnya tidak berminat atau lebih fokus terhadap perkara lain.
Kita tak mahu mereka rasa kekok atau terpaksa. Yang penting kami semua masih berkawan dan saling menyokong dalam bidang masing-masing.
“Ada yang saya jumpa di studio atau ketika persembahan, tetapi ada juga yang sudah lama tak bersemuka sebab masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri,” ujarnya.
Akui Lah lagi, menguruskan kerjaya solo jauh lebih mudah berbanding bergerak dalam sebuah kumpulan yang memerlukan komitmen semua anggota.
Kalau bergerak solo lebih mudah. Urusan dengan penganjur acara pun senang. Kalau berkumpulan, banyak kepala. Seorang boleh, seorang mungkin tak boleh.
“Nak dapatkan komitmen semua orang bukan mudah. Semua kena ada minat yang sama untuk buat sesuatu benda itu,” katanya.
Mengenai Soul City: An R&B Night, dia teruja bakal sepentas rakan seperjuangan yang kental dengan genre pop R&B iaitu trio otai, Innuendo selain Ruffedge serta The Fabulous Cats & Datin Alyah.
“Pentas mega itu nanti bakal menjadi gelanggang menghimpunkan ramai peminat R&B sekali gus mengimbas memori lalu.
Bukan hanya penyokong yang membesar dengan lagu kami, kelompok penggemar muda juga kami raikan untuk menikmati deretan lagu hit,” kongsinya.
Tiket konsert serendah RM55 anjuran Menara Network Sdn Bhd itu boleh ditempah menerusi platform MyTicketEmpire. – HIBGLAM
